Perjalanan Kami

               Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, apa khabar semua....? Saya Pn Arva dan suami  saya En Saifuddin ingin kongsi perjalanan kami, menubuhkan SMB Education, dimana pendidikan anak-anak permata bermula.  

 Tahun 2000, saya memperolehi Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat (Information Technology) dan memilih menjadi seorang cikgu tuisyen fizik dan matematik tambahan.

 Dalam pengalaman saya mengajar tuisyen selama 13 tahun saya sedar ramai anak-anak belajar seperti saya. Mereka boleh memberikan jawapan secara lisan tetapi menghadapi masalah menjawab secara bertulis. Kebiasaannya mereka cuai dan keliru dengan konsep. Saya tidak memahami mengapa mereka berbuat demikian.

 Tahun 2006, kami dapati anak sulung kami berumur 5 tahun tidak boleh mengenal huruf apatah lagi membaca. Dia lebih cenderung dalam melukis, mewarna, bercerita, berlakun dan sesekali suka conteng. Seperti ibubapa lain kami risau tentang anak kami. Setelah mendapat maklumat daripada pakar pendidikan, kami telah membawa anak kami ke Persatuan Disleksia Malaysia untuk dinilai oleh Puan Sariah. Ini merupakan ujian bagi saya dan suami saya, bagaimana kita akan menangani keadaan ini. Kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan, di mana untuk pergi kerana PDM Titiwangsa adalah jauh dari tempat kami tinggal. Namun demikian demi masa hadapan anak kami perjalanan  yang  berulang selama 6 jam setiap hari tidak menjadi halangan.

  Namun begitu, kami rasa anak kami perlukan kelas tambahan dan teknik yang berlainan untuk belajar....tambah pula selepas 2 tahun, anak kedua kami juga telah disahkan disleksik.

 Saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian saya sebagai seorang graduan masters dalam bidang psikologi pendidikan dan disitulah saya menyedari bahawa saya juga adalah seorang disleksik. Saya mula fahami disleksia adalah lebih daripada sekadar masalah dengan membaca. Disleksik adalah pemikir otak kanan dan mempunyai cara yang berbeza untuk belajar.

 Di sinilah bermula perjalanan kami, saya mengubah gaya saya mengajar pelajar-pelajar saya dan juga anak-anak saya. Dalam 9 tahun, anak-anak saya, ibu bapa, guru dan ramai kanak-kanak disleksia dari 5 tahun hingga 17 tahun, dapat saya membantu. Semua usaha telah membuahkan hasil apabila kedua-dua anak-anak saya mendapat keputusan cemerlang di sekolah dari segi akademik mahupun pembangunan keseluruhan. Ramai pelajar-pelajar saya telah meningkat kebolehan pembelajaran mereka. Alhamdulillah.

 Hari ini, saya dan suami saya mempunyai misi untuk membantu ibu bapa lain seperti kami yang menghadapi perjalanan yang sama seperti kami lakukan 9 tahun yang lalu. Kami berharap  dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran kami dalam membangunkan masa depan anak-anak permata dinegara kita. Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan masing-masing dan harus dimanfaatkan. Manalaka kelemahannya perlu diatasi.

 Kami telah tubuhkan SMB Education pada tahun 2014 bagi menjalankan perniagaan dalam bidang pendidikan khas; khususnya disleksia, ADD/ADHD, Austisma dan diskalkulia.

SMB Education berusaha untuk:

  • membantu ibu bapa untuk memahami anak-anak mereka dari segi sosial, emosi dan kelakuan (social, emotional and behavioural aspects).  
  • membantu anak-anak dalam pembelajaran LINUS; dan
  • mambantu anak-anak 5 tahun keatas untuk menguasai 3R. 

 Kami berusaha untuk mencari produk terbaik dari seluruh dunia untuk membantu kanak- kanak. Kami percaya setiap kanak-kanak mempunyai potensinya dan adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru-guru untuk menyerlahkannya dengan mencari cara terbaik untuk mengajar anak mereka. 

Wassallam.